2234 
Total Vacancies

12966 
Registered Jobseeker

2200 
Registered Companies



ELX News

PEMBERIGAAN REFORMASI MEMULAKAN PERNIAGAAN DI DAERAH BELAIT

KUALA BELAIT, 11 FEBRUARI - Majlis Pemberigaan Reformasi Memulakan Perniagaan Bagi Daerah Belait Kelolaan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah diadakan hari ini bertempat di Dewan Persidangan Kuala Belait.

Majlis Pemberigaan ini dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Do'a Selamat dan seterusnya ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Ali bin Haji Matyassin, Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria Selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemberigaan Reformasi Memulakan Perniagaan.

Seterusnya Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan daripada Yang Mulia Awang Mohammad Sunadi bin Haji Buntar, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mengenai dengan tujuan jerayawara serta tujuan pindaan Akta Lesen Perniagaan.

Para jemputan seterusnya mendengar taklimat mengenai Tatacara Baru Akta Lesen Perniagaan 2015 (Penggal 127) disampaikan oleh Yang Mulia Awang Hasmiron bin Haji Md Taib, Penolong Pegawai Daerah Belait. Antara isi kandungan taklimat ialah Tujuan Pindaan dan Penerangan Akta Lesen Perniagaan (Penggal 127), 2015; Tatacara Pengeluaran Lesen Perniagaan Bagi Memulakan Perniagaan; dan Tatacara  Membaharui Lesen  Perniagaan (Renewal).

Taklimat mengenai Starting a Business: Briefing on Reforms and Procedures disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Mariani binti Haji Sabtu, Ketua Unit Ease of Doing Business.Taklimat seterusnya ialah dari pihak Jabatan Buruh yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Zulhilmi bin Haji Abidin, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Buruh (Operasi).

Dengan taklimat tersebut dapat memberikan maklumat dan menjelaskan mengenai dengan tatacara baru memulakan perniagaan di bawah Akta Lesen Perniagaan (Penggal 127), 2015. Inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memulakan perniagaan dengan lebih mudah, cepat dan telus ke arah mewujudkan suasana perniagaan yang pro-business dan business friendly.

Majlis Pemberigaan ini diakhiri dengan sesi soal jawab.

Para jemputan yang hadir di majlis ini ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pejabat Peguam Negara, Dewan-Dewan Perniagaan, Penghulu-penghulu dan Ketua-Ketua Kampung dan masyarakat peniaga.

Majlis ini juga akan diteruskan ke Daerah  Tutong pada 12hb Februari dan  Daerah Temburong pada 16hb Februari.

Akta Lesen Perniagaan berkuatkuasa mulai 1hb Januari 2015. Lesen Perniagaan menggantikan Lesen Rampaian dan mana-mana lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan-Jabatan Daerah, Jabatan-Jabatan Bandaran dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama.